Kecewa iklan tv siar tingkah laku ‘budak biadab’ 0

Ummu Khaulah | 7/19/2007 05:09:00 AM |

Ibu bapa dan para pendidik melahirkan kebimbangan mereka akan kesan negatif iklan televisyen terhadap perkembangan tingkah laku kanak-kanak dan mendesak kerajaan supaya lebih tegas dalam penyiaran iklan yang boleh merangsang minda anak-anak untuk melakukan tabiat buruk.

Satu daripada iklan berkenaan, menurut mereka, memaparkan seorang budak lelaki comel tetapi nakal yang melakukan beberapa gelagat nakal semasa dalam perjalanan menuju ke kedai untuk membeli roti.
Budak lelaki itu memotong barisan di kaunter bayaran, dengan mesej akhirnya yang disampaikan kepada penonton bahawa dia dimaafkan ekoran tingkah laku biadabnya.

“Ini memperolok-olokkan kempen kerajaan supaya menjadikan budi bahasa sebagai amalan hidup. Apakah yang ada untuk dimaafkan? Adakah kita mengamalkan sikap kurang ajar?” soal seorang ibu kecewa, Zaidah Zainal, dari Green Valley Park di Bandar Tasik Puteri dekat sini.
Zaidah, yang bertugas sebagai pengurus wad di sebuah hospital kerajaan, adalah seorang daripada ramai ibu bapa yang terkejut apabila menonton siaran iklan televisyen yang memperlihatkan tingkah laku biadab dan kenakalan budak lelaki itu.

“Kami tidak menentang label roti berkenaan tetapi pengeluar jenama roti itu dan agensi pengiklanan berkenaan hendaklah bersama-sama berfikir sebelum menghasilkan iklan yang sedemikian, yang meletakkan rakyat Malaysia dalam situasi buruk terutamanya dalam kalangan orang asing,” katanya.

Zaidah berkata, beliau faham tujuan di sebalik iklan itu ialah untuk mempromosikan gaya hidup sihat dan cergas dengan memakan roti, tetapi malangnya iklan itu memutuskan untuk memberi gambaran yang salah terhadap perkembangan hidup kanak-kanak Malaysia.
“Orang asing yang masih baru di negara ini mungkin mendapat gambaran bahawa kanak-kanak Malaysia sememangnya mempunyai tingkah laku biadab,” katanya

Seorang pendidik, Arshad Mad Rejab berkata, beliau terkejut menonton iklan itu di televisyen.

“Pada suatu ketika apabila kita patuh kepada nasihat (Perdana Menteri) Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk menjadikan budi bahasa sebagai satu amalan hidup kita, satu iklan televisyen, secara tidak sengaja menunjukkan satu aspek sangat negatif kehidupan Malaysia,” katanya.

Menurut Arshad, pengeluar jenama roti dan pengiklan mungkin tidak berniat dan tidak sengaja untuk menonjolkannya tetapi perkara itu seharusnya difikirkan dengan teliti sebelum memutuskan untuk menghasilkan babak yang menggambarkan kanak-kanak Malaysia secara negatif.

“Ini merupakan suatu yang malang pada ketika rakyat Malaysia yang dinasihatkan oleh Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan supaya berbudi bahasa sebagai amalan hidup kita, iklan yang sedemikian disiarkan di televisyen.

Beliau berkata bahawa akan timbul situasi apabila kanak-kanak
mencontohi tingkah laku biadab budak lelaki seperti yang ditonton di televisyen itu kerana imej televisyen boleh “berjangkit.”

“Ini merupakan satu perkara yang mengecewakan apabila para guru, seawal dari peringkat sekolah tadika hingga menengah, bertungkus lumus berusaha menjayakan kempen “Budi Bahasa Budaya Kita”, kita pula tiba-tiba disogokkan dengan iklan negatif mengenai budi bahasa dan kesopanan amalan hidup Malaysia,” katanya.

Aktivis pengguna dan sosial, Gurmukh Singh mendesak pihak berkuasa supaya mengenakan pemeriksaan yang ketat terhadap iklan televisyen.
“Tidak dinafikan bahawa iklan ini bertujuan mempromosikan jenama tetapi tidak semua orang dapat menerima bulat-bulat hakikat bahawa apa jua kesalahan adalah tanpa niat.

“Televisyen mempunyai liputan yang amat luas. Oleh itu, pengiklan hendaklah berhati-hati supaya tidak menghasilkan satu jalan cerita kontroversi terutamanya yang melibatkan kanak-kanak,” katanya

0 Responses So Far:

 
srikandi islam Copyright © 2010 Afaf Theme is Designed by Afiqahafaf Home | RSS Feed | Comment RSS